Buat Yang Tersayang

Friday 19 August 2016

PILIHAN DI TANGAN ANDA.

Mahkamah lah tempat yang tidak mahu dikunjungi oleh orang ramai kecuali para peguam, pihak pendakwaan, hakim dan kakitangan mahkamah. Bagi mereka yang menghadapi pertuduhan kes jenayah, antara perkara yang paling merumitkan adalah MELANTIK PEGUAMBELA yang sesuai dan tepat.

Seringkali kita mendengar rungutan kena tipu dengan peguambela yang telah dilantik oleh OKT (Orang Kena Tuduh). 

Jangan salahkan orang lain tetapi salahkan diri sendiri kerana rata-rata masyarakat di Malaysia lebih suka melantik peguambela yang "famous" sebab dikenali melalui tv atau suratkhabar atau dilantik oleh para artis. Ada juga yang mendapat recommendation dari pihak-pihak tertentu. Tapi yang paling utama kerana peguambela tu tawarkan fee yang murah ATAU FREE!!! Ni faktor paling utama.

Pernah dengar tak ungkapan, "Duit boleh cari tapi maruah sekali tergadai, x boleh nak ubah". Banyak kali saya cakap pada mereka yang datang jumpa saya. Yang faham cakap saya, faham la tapi yang sengaja buat tak faham pun ramai. Ada juga yang sengaja tak nak dengar. Ramai yang lebih sayangkan duit dari maruah diri. Ramai juga yang call saya bila dah kalah kes dan minta saya buat rayuan di Mahkamah seterusnya. Ada yang memang susah nak menang kerana peguambela terdahulu dah "hancurkan" kes tu.

Bila fee peguambela murah, maknanya:
1. Peguambela tu baru dalam practice, atau
2. Tak berapa pandai kendalikan kes bicara, atau
3. Mula-mula cakap akan lawankan kes client tapi kemudian minta client mengaku salah pulak, atau
4. Akan beri perkhidmatan yang murah sebab bayar murah dapatlah hasil yang murah juga, atau
5. Pelbagai lagi alasan yang tak sepatutnya.

Untuk pengetahuan semua, kalau OKT nak mengaku salah atas sesuatu pertuduhan, nasihat saya, tak perlulah lantik peguambela. Buang duit je kerana sebenarnya OKT boleh buat rayuan sendiri untuk dapatkan hukuman yang ringan. Jangan la takut untuk bercakap masa nak buat mitigasi (rayuan kurangkan hukuman) kerana para magistrate dan hakim pun manusia biasa je. Kecuali la kalau nak buat representasi kepada pihak pendakwaan untuk menurunkan seksyen yang dipertuduhkan tu. Itupun satu isu juga tu yang mesti dibincangkan lain kali.

Kalau takut atau pemalu sangat, berani kan juga diri tu sebab ianya melibatkan diri sendiri.

Setiap peguam ada prinsipnya sendiri. Bagi saya, saya tidak berapa suka kalau kes kendalian saya mendapat liputan media sosial. Bukan kerana saya tak nak famous tapi sebab saya memikirkan akibat dan kesannya kepada client sendiri.

Bayangkan elok-elok jiran tetangga tak tahu client kita tu kena tangkap, tapi sebab mendapat liputan media social, semua orang jadi tahu pasal kes dia. Prinsip ni prinsip saya tau. Mesti ramai tak setuju tapi saya hidup dan bekerja bukan untuk ikut cara orang lain.

Ok.... kalau seseorang tu nak lawan kes dia (tak kira la dia buat atau tak kesalahan tu) dan nak lantik peguambela yang bagus, tengok lah cara dia terangkan tentang elemen kes tu dan apakah pembelaan yang terbaik sekiranya dipanggil membela diri. Walaupun perbicaraan belum bermula dan baru setakat sebutan untuk mencari peguambela, perkara-perkara tersebut mesti diketahui dari awal lagi bagi mengelakkan berlakunya afterthought defence (pembelaan yang direka-reka). Afterthought defence ni mengikut undang-undang adalah suatu yang tidak diterima oleh mahkamah dan sah-sah akan kalah kes. Ianya sama macam tak ada pembelaan langsung atau sekadar penafian semata-mata.

Lagi satu, tengok cara peguambela tu kendalikan pemeriksaan balas (cross examination) semasa perbicaraan kes lain. Cari la masa tengok kes lain yang dia kendalikan dalam mahkamah. Kalau dia nak tanya soalan pun asyik membelek-belek muka surat atau kertas atau notanya, baik tak payah la. Atau pun kalau dia tergagap-gagap masa bertanyakan soalan pada saksi, pun tak payah la. Kalau lepas dia tanya 1 soalan pada saksi dan saksi dah jawab, lepas tu kita kena tunggu lama baru dia nak kemukakan soalan yang lain, tu pun tak payah la. Dan paling tak elok kalau dia tanya soalan yang BO***. Yang tu mesti dielakkan.

Kalau nak ikutkan banyak lagi penerangan yang mesti dijelaskan di sini. Tapi penat pulak nak taip. Kalau nak tahu lebih lanjut, tanya lah orang yang pernah ada pengalaman berurusan dengan peguambela. Saya cakap PEGUAMBELA ye! Bukan setakat peguam. Peguambela ni yang kendalikan kes jenayah.

Atau hubungi mana-mana peguambela dan buat temujanji dengannya untuk consultation. Pada masa tu la anda boleh perhatikan perkara-perkara yang saya sebutkan kat atas tu. Tapi masa consultation tu tak boleh la nak tengok dia beraksi buat cross examination. Yang part tu kena tengok di dalam mahkamah masa perbicaraan.

Allahua'lam. 

Kalau saya ada silap dan salah atau menyinggung mana-mana pihak menerusi artikel ni MINTA AMPUN, MINTA MAAF.